Labels

Sunday, January 27, 2008

Proton terima 23,000 tempahan Saga






28 Jan 2008

Suffian A Bakar


SHAH ALAM: Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton), menerima tempahan berjumlah 23,000 unit bagi keluaran terbarunya, Proton Saga, sekali gus menjadikannya model kereta nasional yang mendapat sambutan paling menggalakkan setakat ini.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata angka tempahan itu mencerminkan keyakinan pengguna terhadap Proton Saga dan kemampuan syarikat mengeluarkan produk yang memenuhi cita rasa semasa.
"Permintaan terhadap Proton Saga baru ini sangat baik, malah mungkin dianggap luar biasa kerana setakat hari pelancarannya hanya kira-kira 6,000 unit ditempah tetapi kini ia melambung sehingga mencecah 23,000 unit.
"Ini menunjukkan keyakinan tinggi terhadap kualiti model baru Proton Saga terutama dari segi keupayaan pemanduan, keselesaan, prestasi dan harga," katanya kepada pemberita di majlis Hari Penghargaan Pelanggan Proton di sini, semalam.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan kunci kepada empat penerima pertama Proton Saga baru berkenaan yang membuat tempahan sebelum model dilancarkan. Syed Zainal Abidin berkata, berdasarkan sambutan dan maklum balas menggalakkan yang diterima terhadap model yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Januari lalu itu, Proton yakin tempahan akan terus meningkat.
Mengenai keupayaan Proton memenuhi jumlah tempahan, Syed Zainal Abidin berkata, kilang pengeluaran kereta nasional di sini akan beroperasi dua syif sehari bagi mempercepatkan kerja pemasangan serta penghantaran. "Dengan kapasiti pengeluaran sedia ada iaitu 5,500 unit sebulan, kami yakin pelanggan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan kenderaan mereka. Kami akan cuba membuat penghantaran seberapa segera yang boleh tanpa menjejaskan kualiti," katanya.
Sehingga ini, tempoh menunggu untuk penghantaran Proton Saga terbabit ialah antara lima hingga enam bulan, bergantung kepada jenis model yang ditempah. Terdahulu, dalam ucapannya, Syed Zainal Abidin berkata, program penghargaan pelanggan yang diadakan Proton bertujuan merapatkan lagi hubungan syarikat dengan pelanggan setia jenama itu selain menunjukkan kemudahan servis dan khidmat lepas jualannya.
Katanya pelanggan juga berpeluang melihat secara lebih dekat pelbagai model yang dipamerkan, selain boleh memberikan pandangan masing-masing untuk membantu Proton mengeluarkan jentera yang lebih menarik serta berkualiti pada masa depan. "Kami serius untuk terus memperbaiki khidmat selepas jualan, kualiti dan paling penting meningkatkan hubungan dengan pelanggan. Kami mahu mereka tahu bahawa pelanggan sentiasa menjadi keutamaan.
"Antara usaha yang sudah dilaksanakan Proton setakat ini termasuk menubuhkan Pasukan Bertindak Pelanggan Proton (CAT) yang bertujuan memastikan mereka mendapat perkhidmatan lepas jualan terbaik dan kereta berkualiti," katanya.

No comments: