Labels

Sunday, February 3, 2008

Lawatan bertukar tragedi

Dua pelajar dikhuatiri lemas ketika mandi di Taman Negara Similajau

BINTULU: Program lawatan pelajar sebuah sekolah menengah dari Miri ke Taman Negara Similajau di sini bertukar tragedi apabila dua pelajarnya dikhuatiri lemas setelah ditelan ombak besar ketika bermain di tepi pantai, tengah hari semalam.
Dua pelajar tingkatan tiga berkenaan hanya dikenali sebagai Mohd Arif dan Zaidi Zuhairi, masing-masingnya berumur 16 tahun.
Mereka menyertai rombongan program sekolah seramai 30 orang pelajar dengan dua guru pengiring ke taman negara berkenaan dan dibawa ke pantai berdekatan yang terkenal sebagai lokasi penyu bertelur oleh enam pemandu pelancong yang memakan masa tiga jam perjalanan dengan berjalan kaki.
Setibanya di pantai itu, dua pelajar terbabit dikatakan bermain-main air laut, namun tanpa diduga, ombak besar muncul lalu menarik kedua-duanya ke dalam air.
Seorang pelajar yang hanya dikenali sebagai Mohd Aziz terjun ke laut setelah menyaksikan dua rakannya ditelan ombak besar, namun usahanya untuk menyelamatkan mereka gagal. “Pada mula-nya, saya berjaya memegang tangan kedua-dua mereka, namun terpaksa melepaskan pegangan kerana ombak begitu kuat,” jelas Mohd Aziz ketika ditemui semalam.
Sementara itu, guru-guru pengiring dan pelajar lain yang turut menyaksikan kejadian itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana ombak besar.
Dalam keadaan genting itu, beberapa pelajar bertindak membaling tunggul kayu ke laut dalam usaha menyelamatkan Mohd Aziz.
“Mujurlah saya dapat berpaut pada tunggul kayu tersebut. Ombak begitu besar dan ganas,” tambahnya.
Mohd Aziz terapung-apung selama kira-kira sejam di laut sebelum diselamatkan oleh pihak berkuasa taman yang dihubungi guru pengiring.
Setelah diselamatkan, Mohd Aziz kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke Hospital Bintulu dan keadaannya dilaporkan baik.
Dalam pada itu, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan serta-merta oleh pasukan polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) selepas menerima panggilan kecemasan semalam, manakala para pelajar dan guru dibawa pulang ke taman oleh pihak berkuasa.
Polis Marin turut menyediakan bot dan Bomba dengan dua buah jetskinya untuk operasi mencari dan menyelamat dua mangsa terbabit.
Sehingga berita ini ditulis, operasi itu masih dijalankan di kawasan perairan berdekatan Taman Negara Similajau.

No comments: